::DonatGebuss::
Pemilik Blog

Navigation : Hover the image



Entries About Linkies Stuff

Welcome to donat gebuss blog :)


Tagboard!



Credits!

Template: Nurul AtiQah
Edited By: Fara Farell
Others:   


Pergilah

Tahun 2013 merupakan tahun yang amat getir buat kami sekeluarga. Bermulanya bah besar di Kelantan, bertubi-tubi kami diuji, bertubi-tubi dugaan menyapa.

Bah besar 2013 menyaksikan bumi Kelantan hampir tenggelam sepenuhnya. Rumah tok ayah yang terletak di Guchil 4 Kuala Krai tidak kurang ranapnya. Air menenggelami rumah tanpa terlihat apa-apa. Tiada apa yang kami nampak. kosong. Ibarat sebuah pekan kecil tiba-tiba menjadi sebuah tasik yang bening.
tenang.

Disebalik ketenangan itu ramai yang bersabung nyawa. Ketahuilah semua disana ramai yang terseksa, makannya tidak terjaga, sejuknya tiada berhaba. Tok ayah juga menerima nasib yang sama. Tinggal di surau bersama ayah su, ayah long dan sepupuku Faiz. Mujurla ada mereka mampu saling menjaga. Kami disini hati meronta tidak terkata. Hendak kesana jalan penghubungnya terhapus semua. Hanya bertanya khabar sekali sekala melalui telefon sehinggalah banjir reda.

Redanya banjir tok ayahku begitu gembira. Biarpun rumahnya hanya tinggal rangka, biarpun barang-barangnya semua telah tiada, tidak mengapa, dia masih bersyukur, kami sekeluarga tidak apa-apa. Namun rumah masih belum boleh diduduki, proses pembersihan masih berjalan. Belumpun selesai proses pembersihan, kami dikejutkan dengan pemergian Tok ayah ke rahmatullah. Al fatihah.

Tok ayah masih gagah biarpun usianya mencapai 7 angka. Masih gagah menunggang motor semata-mata mahu mencari goreng pisang buat cucu-cucunya. Masih gagah menapak ke surau lima waktu sehari menyertai jemaah solat disana. Benarlah, dimana kita selalu berada, disitulah kita berakhir. Ajal menemui tok ayah sejurus selepas solat subuh di surau. Namun kata orang, sebelum ajalnya datang, dia sempat meminta ampun dan maaf dari seluruh jemaah. Mengatakan dia sudah mahu pergi selama-lamanya,dia meminta maaf. Allahu.

Rumah terasa kosong tanpa tok ayah. Tiada lagi bunyi batuk beliau yang menggegar rumah, tiada lagi insan yang duduk disampingku, mengusap belakang penuh kasih sayang, memberi nasihat penuh hikmah. Sepi.

Namun kami masih bersyukur. Kami masih punya saudara. Ayah long. Ayah su. Masih disana. Masih mampu berkumpul bersama, dibawah bumbung kopak di atas lantai berlubang, ketawa bahagia.

Belum pun terubat dengan pemergian tok ayah, tiba-tiba kami dikejutkan dengan berita ayah su dikejarkan ke hospital. Salur darah dikepalanya pecah. Ya Allah ujian lagi kau berikan. Selang sehari ayah su meninggalkan kami selama-lamanya. Allahu.

Ayah su. Sungguh aku tak sangka. Dialah anak yang banyak berjasa. Menjaga tok ayahku sehingga ke liang lahad. Siapa sangka, dalam sesingkat ini dia juga dijemput kesana. Segalanya tiba-tiba, justeru , kami masih cuba menghadam semua. Ibarat mimpi jadi nyata.

Seminggu sudah kepergian ayah su. Tanahnya masih merah. Tiba-tiba kami diuji lagi. Mama menerima panggilan telefon dari kampung. Ayah Long ku sudah tiada. Menuruti tok ayah dan ayah su ke sana. Sungguh. Runtun hatiku. Anaknya sudah tiada siapa-siapa. Ibu mereka telah lama meninggal dunia, tinggallah mereka menumpang kasih saudara.

Ibuku. Wanita terkuat di mata aku. Dalam sesingkat ini tuhan tarik ayahnya, abangnya, adiknya. Dia tinggal siapa ? Tiada. Seluruh kaum keluarganya telah dijemput illahi. Namun dia masih punya kami. Kami yang takkan pernah berhenti menyayangi.

Hari ini, aku sekali lagi aku menapak masuk ke rumah tok ayah.
sejuk.
sunyi.
Dimana batuk tok ayah ?
Dimana sapaan mesra ayah su ?
Dimana dengkuran tidur ayah long ?

Runtun hatiku seruntun-runtunnya. Bergumpal suatu perasaan dalam hati. Rumah yang dulu penuh gelak tawa, duduk bersama makan bersama bergurau senda, kini sepi . kosong . yang tinggal hanya kami. meratap kesepian dalam ketenangan.

Pergilah semua. pergilah. Kami redha. Tunggu kami disana. Mungkin perkumpulan kita disini sudah tamat masanya. Kami pasti akan menuruti kalian ke sana. Berkumpul kembali, seperti sebuah keluarga bahagia, seperti dulu kala, seperti asalnya kita.

Al fatihah







Post a Comment